MENU

 

 

JITRA - Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) bakal diiktiraf sebagai majlis perbandaran pada November nanti.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu, Mohd Fisol Md Noh berkata, pengiktirafan berkenaan adalah saat yang paling dinanti-nantikan oleh MDKP termasuk penduduk-penduduk daerah ini.

Katanya, mereka mula membawa usul untuk mendapatkan status perbandaran ini sejak 2002 lagi.

"Kriteria -kriteria yang diperlukan itu, kita  dah lengkap termasuk dari segi pendapatan, keluasan, dan kita juga ada institut pengajian tinggi serta kawasan yang bersempadan dengan negara Thailand," katanya ketika ditemui pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) bagi penggal 2018-2019,semalam.

Menurutnya, beliau mempunyai harapan yang tinggi setelah Kubang Pasu diwartakan sebagai majlis perbandaran kelak.

"Sebenarnya bila kita dah naik ke tahap perbandaran ini,  status kita pun dah berubah dengan taraf berbeza dari segi perkhidmatan kepada rakyat.

"Hal ini kerana, kita mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk pengurusan dan  pembangunan.

"Oleh itu, di pihak pentadbiran juga kita perlu meningkatkan perkhidmatan agar sesuai dengan taraf perbandaran yang diterima," katanya.

Mohd Fisol berkata, pencapaian taraf perbandaran ini adalah usaha daripada semua pihak bermula daripada rakyat, wakil-wakil rakyat, agensi-agensi, termasuk badan- badan korporat yang memajukan daerah ini dari segi pertambahan dan pembangunan infrastruktur.

"Jasa pihak swasta juga kita tak boleh nafikan kerana mereka inilah yang memainkan peranan penting.

"Kita di jabatan kerajaan ini hanya bertindak sebagai penyedia peraturan bagi memudahkan cara sahaja.

"Jadi, saya di sini merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan buat semua yang terlibat dalam membantu daerah ini mencapai taraf majlis perbandaran," katanya.

Pada tahun 1976, Kubang pasu dinaiktaraf sebagai majlis daerah di bawah Akta Kerajaan Tempatan.

Sebagai sebuah daerah yang besar di negeri Kedah, Kubang Pasu mempunyai kepadatan penduduk melebihi 250,000 dengan jumlah pendapatan kira-kira RM22 juta setahun.