MENU

Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara

Institut Aminuddin Baki (IAB) adalah sebuah institusi latihan kepimpinan dan pengurusan pendidikan bagi membangunkan keupayaan pengurus dan pemimpin pendidikan di semua peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). IAB berperanan bagi menghasilkan organisasi pendidikan yang berkualiti selaras dengan aspirasi negara Malaysia

Institut Aminuddin Baki (IAB) telah ditubuhkan pada Mac 1979 dengan dikenali sebagai "Malaysian Educational Staff Training Institute" (MESTI)MESTI ialah sebuah Institut Latihan Pegawai-Pegawai Pendidikan yang status awalnya adalah sebahagian daripada Bahagian Pendidikan Guru (BPG) Kementerian Pelajaran Malaysia pada masa itu. Pada awalnya bertempat di Bahagian Pendidikan Guru kemudiannya telah berpindah ke kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada bulan Ogos 1979 sehingga September 1980 sebelum berpindah pula ke Blok 1, Kompleks Pantai Puri, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur. Ia kemudiannya dikenali sebagai Institut Pengurusan Pendidikan Negara (IPPN) pada bulan Mac tahun 1985 selaras dengan perkembangan pesatnya dan serentak dengan perpindahan operasinya ke kampus induknya sendiri yang terletak di kawasan seluas 121 ekar di Sri Layang, Genting Highlands.

Pada 14 Mac 1988 YB Menteri Pendidikan Malaysia mengisytiharkan nama baru IPPN kepada Institut Aminuddin Baki (IAB) sebagai mengenang jasa Allahyarham Aminuddin Baki (Penasihat Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu) dalam bidang pendidikan. Pada Februari 2014 IAB telah berpindah ke kampus induk di Kompleks Pendidikan Nilai, Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan dengan Kampus Genting Highlands dijadikan IAB Cawangan Genting Highlands. Sekarang IAB mempunyai satu kampus induk dan empat cawangan.